Tentang blog

Terimakasih kepada sesiapa yang sudi menjengah ke blog ni. Ruang terbuka ini tempat aku bercerita dan meluah perasaan…(mengomel).. daripada disimpan menyakitkan hati lebih baik luahkan saja

….juga hanya sekadar berkongsi info yang mungkin boleh dimanfaatkan bersama. …. …

 

 

 

7 Responses to “Tentang blog”

  1. assalamialaikum ida…saya teringin sangat nak berkenalan dgn ida…dpt syer banyak info sbb saya nak atasi masalh kemurungan yg berpanjangan ni…argggghhhh pls help me! saya sentiasa minta doa kepada allah supaya diberi hati yg lain,hati yg sentiAasa mengingatiNYA dan hati yg tenang… thanks for being my friend

  2. nazrida Says:

    Zura, waalaikum salam warah matullahi wabarakatuh…..
    sila la ke blog ni selalu. Kat sini saya pun banyak kawan, yang tak kenal dan tak pernah jumpa, tapi sudi memberi nasihat dan sokongan.

  3. salam…k.zura..

    rieyl ada sedikit info dr dalam post nie juga…mungkin boleh dibaca semula untuk
    difikir-fikirkan..

    Namun yang terutama sentiasa dekatkan diri akak dengan Dia..insya allah..for one thing akak kena cerita/detailkan masalah akak kalau tak keberatan supaya kengkawan kat sini semua boleh membantu..

    Insya Allah…

    Wanita & Kemurungan

    Dipetik daripada buku “Panduan Kesihatan Wanita” terbitan PTS Millennia Sdn Bhd

    Kemurungan ialah sejenis penyakit emosi yang menyebabkan kita mengalami simptom-simptom seperti keletihan dan ketiadaan tenaga, perasaan sedih yang berpanjangan dan cepat marah, serta kehilangan minat dalam aktiviti harian hidup. Ia boleh dicetuskan oleh pelbagai sebab termasuk akibat ketidakseimbangan bahan kimia di dalam otak dan situasi stres.

    Kemurungan adalah suatu istilah perubatan terhadap penyakit, ianya bukan bermakna suatu petunjuk kelemahan karektor atau peribadi seseorang. Ramai daripada kita yang menghidap penyakit kemurungan ini tidak mendapatkan rawatan kerana malu atau memikirkan ianya akan berlalu dengan sendiri.

    Penyakit kemurungan berlaku kepada kaum lelaki dan juga wanita. Ianya adalah suatu penyakit mental yang boleh memberi kesan yang mendalam dalam pelbagai aspek kehidupan seseorang dan bolah mengganggu kehidupan seharian. Kajian mendapati setiap seratus orang dalam populasi manusia, sepuluh orang didapati menghidap penyakit ini Walaupun penyakit ini boleh dirawat, 80% daripadanya tidak dikesan dan diberi rawatan.
    Sekiranya puan dapat mengenal pasti diri puan mengalami gejala kemurungan ini, puan perlu menyedari adanya pelbagai rawatan perubatan dan terapi psikologi yang boleh membantu
    Bagaimana Membezakan Kesedihan dan Kemurungan?

    Antara faktor-faktor yang boleh digunakan bagi membezakan kedua-dua keadaan ini adalah seperti di bawah:
    a. Jumlah simptom yang dialami.
    b. Tempoh atau jangka masa simptom-simptom tersebut dialami.
    c. Keseriusan simptom-simptom tersebut.
    d. Sama ada simptom-simptom tersebut menyebabkan puan menghadapi masalah menjalankan tugasan harian di rumah atau di tempat kerja.

    Ramai orang berpendapat kemurungan ini didapati lebih kerap berlaku di kalangan wanita berbanding kaum lelaki kerana wanita lebih mudah mengaku dan bercakap mengenai emosi mereka. Berbeza dengan kaum lelaki yang cenderung menafikan simptom-simptom yang mereka alami atau cuba melupakannya.

    Berdasarkan beberapa kajian mendapati lelaki yang sedang mengalami kemurungan tidak semestinya menafikan simptom-simptom mereka berbanding wanita. Namun kaum lelaki didapati lebih cenderung memandang remeh atau meminimumkan simptom-simptom yang dialami. Mereka juga didapati lebih cenderung melupakan episod-episod kemurungan yang pernah dialami pada waktu-waktu yang lepas berbanding wanita.

    Mengenali Simptom-simptom Kemurungan

    Sekiranya puan murung, puan mungkin merasa tiada harapan dan kesedihan, tidak merasa seronok dalam hampir semua perkara yang dilakukan. Puan mungkin terlalu sedih, kerap menangis dan tidak bersemangat. Puan juga kadangkala mengalami perasaan cepat marah, cemas atau sama sekali tidak prihatin kepada persekitaran.

    Simptom-simptom kemurungan secara jelasnya boleh dikenal pasti melalui senarai di bawah. Puan mengalami simptom-simptom sama ada:
    a. Kesedihan atau rasa putus asa.
    b. Kehilangan minat atau keseronokan dalam kebanyakan aktiviti-aktiviti harian hidup.

    Bersama-sama dengan salah satu simptom di atas yang berlarutan sehingga lebih daripada dua minggu, puan juga mengalami sekurang-kurangnya empat daripada simptom-simptom berikut:
    a. Perubahan yang ketara pada selera makan yang menyebabkan puan kehilangan berat badan.
    b. Gangguan tidur, selalu terjaga di tengah malam dan tidak dapat tidur semula, atau terjaga 2 hingga 3 jam lebih awal daripada biasa.
    c. Rasa resah, gusar dan tidak berupaya berdiam diri, atau sukar memulakan pergerakan dan pemikiran.
    d. Rasa keletihan sepanjang masa.
    e. Rasa diri tidak berguna dan berdosa tanpa sebab-sebab yang kukuh.
    f. Sukar menumpukan perhatian, mengingati sesuatu atau membuat keputusan.
    g. Kerap memikirkan kematian atau idea membunuh diri.

    Ramai doktor terutama yang bertugas di klinik atau pusat kesihatan mendapati ramai individu yang mengalami kemurungan ini sukar dikesan. Ini mungkin disebabkan mereka tidak menyuarakan simptom-simptom kemurungan yang klasik sebaliknya mereka lebih banyak mengalami simptom-simptom am yang lain. Oleh itu, pada kebanyakan masa didapati sukar bagi mereka dan doktor mengenal pasti kemurungan itu.

    Di bawah disenaraikan beberapa simptom-simptom yang juga boleh dialami oleh seseorang yang mengalami kemurungan:
    a.Sakit kepada dan sakit-sakit badan.
    b. Masalah pencernaan, termasuklah sembelit dan cirit-birit.
    c. Hilang minat terhadap hubungan seksual atau prestasi seksual yang menurun.
    d. Merasa resah atau bimbang tanpa sebarang sebab-sebab tertentu.
    e. Menyalahkan diri sendiri atau orang lain kerana kemurungan.
    f. Tidak bergerak atau berkata-kata selama beberapa jam.

    Simptom-simptom tertentu yang tidak klasikal juga boleh berlaku terutamanya kepada wanita yang mengalami kemurungan seperti:
    a. Makan dengan banyak dan penambahan berat badan yang ketara.
    b. Banyak tidur.
    c. Kerap menangis, marah dan secara amnya merasa tidak sihat diikuti dengan perasaan resah dan tegang.
    d. Kadangkala merasa sebahagian daripada anggota badan seperti kaki ataupun tangan menjadi berat.
    e. Merasa sangat sensitif terutamanya apabila men-tafsirkan perbuatan orang lain sebagai suatu penindasan dan merasa diri tidak diterima.

    Kemurungan di kalangan individu dewasa yang melewati usia lima puluhan boleh merangkumi kecelaruan ingatan dan kekeliruan. Walau bagaimanapun simptom ini juga boleh disebabkan oleh ubat-ubatan. Oleh itu penting untuk puan pada usia ini memberitahu kakitangan perubatan mengenai jenis-jenis ubat yang diambil.

    Kemurungan dewasa ini dikenal pasti sebagai faktor risiko yang ketara yang boleh menyebabkan kematian terutamanya di kalangan individu-individu yang berpenyakit jantung. Sekiranya puan sedang berada di usia melewati lima puluhan atau enam puluhan dan sedang mengalami simptom-simptom kemurungan, penting untuk puan mendapatkan rawatan secepat mungkin.

    Punca Kemurungan?

    Penyebab sebenar kemurungan tidak diketahui secara keseluruhannya. Penyakit kemurungan seperti juga penyakit-penyakit mental yang lain adalah hasil interaksi antara pelbagai faktor. Penyebab-penyebab kemurungan boleh dibahagikan kepada faktor ketidakseimbangan bahan kimia, faktor genetik iaitu faktor baka keturunan, faktor persekitaran, ubat-ubatan dan penyakit-penyakit lain.

    Ketidakseimbangan bahan kimia di dalam otak

    Setakat hari ini dipercayai antara penyebab kemurungan adalah disebabkan berlakunya ketidakseimbangan bahan kimia tertentu yang dipanggil neurotransmitter Serotonin di bahagian otak. Ketidakseimbangan bahan kimia ini boleh menyebabkan seseorang itu murung. Serotonin ini juga terlibat dalam proses pemikiran.

    Otak manusia yang mengandungi 100 trilion jaringan sinaptik adalah suatu organ yang sangat kompleks di dalam tubuh manusia. Ini menyebabkan kajian mengenainya sukar dan mencabar. Meskipun pelbagai kajian sudah, sedang dan akan dijalankan bagi menambahkan pengetahuan kita mengenai penyebab kemurungan ini, sukar untuk kita memahami hubung kait fungsi otak manusia dengan emosi. Contohnya sukar memahami dan menjelaskan bagaimana ‘otak mengawal pergerakan tangan sehingga kita berjaya mencapai sesuatu’. Menjadi lebih sukar pula menjelaskan cara otak mengawal sesuatu yang lebih kompleks seperti emosi.

    Apa yang dapat dikenal pasti adalah adanya jaringan saraf di otak yang bertanggungjawab menyelaraskan proses pemikiran dan emosi. Ia juga berkait rapat dengan proses pengeluaran kata-kata, ingatan dan daya tindak seseorang manusia. Segala perasaan manusia itu saling berkaitan dari masa lepas, kini dan akan datang. Inilah yang menyebabkan perasaan yang sama boleh berlarutan bagi jangka masa yang lama.

    Baka keturunan

    Kemurungan juga didapati berlaku lebih kerap kepada seseorang yang mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidap kemurungan. Oleh itu ada kemungkinan kemurungan ini boleh diwarisi melalui genetik atau baka keturunan. Risiko puan menghidap kemurungan tiga kali lebih daripada populasi manusia yang lain sekiranya puan mempunyai ayah, ibu, atau adik-beradik yang menghidap kemurungan.

    Persekitaran

    Kemurungan juga kerap kali dicetuskan oleh pelbagai peristiwa hidup dan kekurangan sokongan keluarga dan sosial.

    Ubat-ubatan

    Sesetengah jenis ubat darah tinggi misalnya, didapati boleh mencetuskan episod kemurungan dalam diri seseorang. Sekiranya hal ini berlaku, kemurungan itu akan beransur hilang dengan sendirinya apabila ubat-ubatan tersebut diberhentikan. Oleh itu penting untuk memberitahu doktor mengenai masalah puan supaya mereka dapat memberikan nasihat sama ada meneruskan ataupun memberhentikan ubat-ubatan yang dikenal pasti boleh mencetuskan kemurungan.

    Penyakit-penyakit lain

    Sesetengah penyakit lain seperti gangguan fungsi thyroid hypothyroidism, boleh menyebabkan kemurungan.

    Corak pemikiran

    Terdapat corak tertentu dalam pemikiran yang boleh mencetuskan kemurungan. Ini termasuklah bagaimana persepsi kita kepada diri sendiri, kehidupan dan dunia keseluruhannya. Sebagai contoh sekiranya puan seorang yang terlalu mengambil berat tentang orang lain dan sentiasa inginkan supaya orang lain menyukai puan, atau sentiasa ingin sesuatu keadaan itu berada di bawah kawalan puan. Kemurungan juga boleh dicetuskan sekiranya puan sentiasa ingin mencapai matlamat hidup yang keterlaluan dan tidak realistik. Sekiranya puan selalu begini, terdapat lebih peluang untuk puan merasa kecewa kerana tidak dapat mencapai apa yang diinginkan. Lambat laun puan akan berputus asa.

    Kaum wanita didapati lebih cenderung mempunyai corak pemikiran yang pertama iaitu ingin selalu menggembirakan orang lain dan mudah kecewa sekiranya orang lain tidak berpuas hati dengan dirinya. Ini mungkin secara amnya menyebabkan wanita lebih mudah ditimpa kekecewaan dalam hidup dan seterusnya boleh mencetuskan kemurungan.

    Satu lagi corak pemikiran ialah sentiasa mengingat-ingat, atau membesar-besarkan pengalaman lalu terutamanya yang menyakitkan lalu cuba memberikan makna-makna tertentu kepada pengalaman itu. Ini sering berlaku pada seorang wanita. Ia hanya akan menyebabkan puan selalu berfikiran negatif dan mengganggu keupayaan menyelesaikan sesuatu masalah secara objektif. Selain daripada itu, akan timbul pula perasaan sedih dan seterusnya mencetuskan kemurungan.

    Stresor

    Sebarang peristiwa hidup berisiko menjadi punca stres atau dipanggil stresor. Apabila puan menghadapi stresor ia berupaya mencetuskan episod kemurungan sekiranya tidak dikawal puan gagal mengendalikan tahap stresor yang keterlaluan. Kebanyakan stresor yang khusus dihadapi oleh kaum wanita sudah dibincangkan dalam bab-bab sebelumnya. Walau bagaimanapun di sini, sedikit perbincangan mengenai-nya mungkin boleh membantu puan membuat beberapa kesimpulan.

    Antara stresor yang boleh berlaku dalam kehidupan sosial puan termasuklah kehilangan orang yang disayangi dan stresor kronik seperti masalah kewangan, masalah hubungan kekeluargaan, atau penyakit kronik. Seseorang yang sudah berusia lanjut dan terpaksa mengubah corak hidup daripada seorang yang berdikari ketika muda kepada seorang yang banyak bergantung kepada orang lain, boleh mengalami kemurungan.

    Kanak-kanak dan remaja pula sering kali menghadapi masalah kecelaruan emosi yang boleh disamakan dengan kemurungan. Kebiasaannya masalah utama mereka adalah tekanan daripada rakan sebaya. Kesungguhan dan rasa keperluan supaya diterima sebagai ahli kumpulan menjadi suatu kemestian kepada golongan ini. Situasi sebegini berupaya menjadi stresor apatah lagi apabila remaja tadi tidak berpeluang membina keyakinan dan persepsi diri yang positif daripada aspek-aspek lain kehidupannya. Peristiwa-peristiwa lain yang boleh mencetuskan kemurungan termasuklah:
    a. Penyalahgunaan dadah atau ketagih arak.
    b. Menghidap penyakit yang serius ataupun tinggal bersama seseorang yang menghidap penyakit sedemikian.
    c. Rasa kehilangan atau berkabung disebabkan kematian orang yang disayangi.
    d. Baru melahirkan anak.

    Kesimpulannya, kemurungan adalah suatu penyakit yang kompleks. Ia adalah suatu manifestasi genetik atau baka keturunan. Namun manifestasi genetik ini sangat dipengaruhi oleh impak yang diberikan oleh pelbagai pengalaman yang dilalui oleh seseorang itu. Kita sudah memahami bahawa faktor genetik ini bertemu dengan faktor persekitaran di otak, namun bagaimana ia berinteraksi sehingga menghasilkan sindrom kemurungan ini masih belum ditemui secara saintifik. Wanita dan lelaki yang dikatakan berbeza daripada aspek fizikal dan psikologikal juga mempunyai tuntutan sosial yang berbeza ke atas mereka. Wanita dan lelaki menginterpretasikan pengalaman-pengalaman hidup dan stres secara berbeza. Oleh itu, kita mendapati pengalaman-pengalaman yang sama ke atas kedua-duanya memberi impak yang berbeza.

    Meningkatnya Faktor Risiko

    Kemurungan kerap berlaku. Walau bagaimanapun tidak semua orang mempunyai risiko yang sama menghidap kemurungan. Apabila kita berbincang mengenai faktor risiko, kita perlu memahami faktor risiko ini boleh menyebabkan kemurungan secara langsung atau tidak langsung.

    Faktor risiko adalah keadaan atau tingkah laku yang berlaku sebelum tercetusnya kemurungan dan ia ditemui lebih kerap di kalangan mereka yang menghidap kemurungan berbanding sebaliknya. Faktor risiko juga boleh memberikan gambaran kepada kita golongan yang berkemungkinan boleh menghidap kemurungan. Ianya penting sebagai program pencegahan.

    Salah satu faktor risiko yang utama dikenal pasti adalah menjadi seorang wanita. Perkara ini akan dijelaskan dengan lebih lanjut dalam tajuk ‘kemurungan dan jantina’

    Beberapa faktor lain yang boleh meningkatkan risiko puan menghidap kemurungan adalah seperti di bawah:
    a. Pernah mengalami kemurungan pada masa-masa yang lepas.
    b. Mempunyai ahli keluarga yang menghidap kemurungan.
    c. Menghidap penyakit-penyakit yang serius dan kronik seperti kencing manis, barah, atau kesakitan yang berpanjangan.
    d. Menghadapi masalah rumah tangga.
    e. Penyalahgunaan dadah dan arak.
    f. Pengambilan ubat-ubatan tertentu seperti sesetengah ubat darah tinggi.
    g. Menghadapi stresor atau masalah sosial.
    h. Menghidap penyakit tertentu seperti penyakit thyroid.
    i. Pernah mengalami penderaan semasa kecil.
    j. Mempunyai kecenderungan ‘sentiasa bimbang.’
    k. Mengalami masalah dalam pemakanan seperti anoreksia atau bulimia.
    l. Perasaan sedih sewaktu dalam pantang.
    m. Penggunaan sesetengah jenis ubat kontraseptif.
    n. Mengalami masalah gangguan emosi yang serius semasa kitaran haid.

    Kemurungan Dapat Berulang

    Kitaran atau proses penyakit kemurungan berbeza-besa daripada seorang individu dengan yang lain. Puan mungkin mengalami simptom yang tidak serius atau sebaliknya dalam jangka waktu yang lama, atau mungkin hanya mengalaminya dalam jangka waktu yang singkat. Sebilangan kecil orang ramai merasa murung bagi sebahagian besar tempoh kehidupannya dan memerlukan rawatan yang berpanjangan. Sebahagian besar daripada mereka yang mengalami kemurungan boleh dirawat menggunakan ubat-ubatan dan kaunseling profesional.

    Kemurungan boleh pertama kalinya bermula dengan simptom-simptom keresahan. Puan akan mula merasa resah dan bimbang yang keterlaluan diikuti dengan perasaan sedih dan kehilangan tenaga untuk beberapa hari atau beberapa bulan sebelum bermulanya episod kemurungan yang sebenarnya. Episod kemurungan yang tidak dirawat boleh berlarutan sehingga enam hingga sembilan bulan tanpa rawatan.

    Sekiranya puan mengalami episod kemurungan yang tidak begitu serius, puan mungkin masih boleh meneruskan kerja-kerja rutin harian hidup. Namun, sekiranya puan tidak mendapatkan rawatan, puan mempunyai risiko menjadi lebih murung sehingga kesihatan fizikal terganggu. Bagi kemurungan yang serius, puan mungkin perlu dimasukkan ke hospital bagi tempoh waktu yang tertentu, terutamanya apabila puan kerap memikirkan idea untuk mencederakan atau membunuh diri sendiri. Kemurungan boleh menjadikan puan lebih berisiko tinggi untuk cuba melakukan sesuatu bagi tujuan membunuh diri. Segeralah mendapatkan bantuan profesional sekiranya puan mengalami simptom ini! Kemurungan juga kerap kali berulang semula selepas ia berlalu. Sekiranya puan mengalami satu episod kemurungan, puan lebih berkemungkinan menjadi murung lagi di suatu ketika lain dalam hidup. Risiko mendapat episod kemurungan yang lain semakin bertambah dengan kekerapan episod kemurungan yang dialami.

    Kemurungan dan perbezaan jantina

    1. Sebelum baligh, kanak-kanak lelaki mempunyai risiko yang sama dengan kanak-kanak wanita bagi mendapat kemurungan. Namun selepas tempoh baligh, remaja wanita didapati mempunyai risiko yang lebih tinggi menjadi murung.
    2. Perbezaan yang paling ketara yang kerap kali disebutkan adalah wanita didapati mempunyai risiko yang lebih tinggi mengalami episod pertama kemurungan berbanding lelaki.
    3. Selepas episod pertama, didapati tiada perbezaan yang konsisten antara keseriusan gejala kemurungan antara lelaki dan wanita. Dalam erti kata lain, seorang lelaki dan wanita tidak menunjukkan perbezaan yang ketara dalam impak penyakit kemurungan yang dialami. Kedua-duanya didapati mengalami gangguan yang sama dalam tahap prestasi kehidupan, jangka masa dan kekerapan episod-episod kemurungan mereka.
    4. Terdapat juga perbezaan kemurungan sepanjang kehidupan dewasa yang seterusnya antara lelaki dan wanita. Seseorang wanita didapati mempunyai perkaitan antara simptom-simptom kemurungannya dengan kitaran reproduksi dan kitaran haidnya. Contohnya terdapat penyakit kemurungan khusus yang dipanggil kemurungan semasa pantang bersalin atau postpartum depression.
    5. Wanita walau bagaimanapun didapati lebih berkecenderungan menyuarakan simptom-simptom kemurungan. Wanita juga didapati lebih kerap mengalami kemurungan yang tidak berkaitan dengan masalah penyalahgunaan dadah. Keresahan pula didapati lebih kerap dialami oleh wanita berbanding lelaki.
    6. Wanita yang mengalami kemurungan kebiasaannya terlebih dahulu menghidap penyakit keresahan, sedangkan kaum lelaki kebanyakannya terlebih dahulu mempunyai masalah penyalahgunaan dadah atau tingkah laku antisosial.
    7. Meskipun wanita secara amnya mempunyai risiko yang rendah menyalahgunakan dadah berbanding lelaki, seorang wanita yang murung lebih cenderung menjadi ketagih kepada dadah. Wanita juga cenderung mendapat komplikasi fizikal pada otak dan organ hatinya lebih awal berbanding lelaki. Ini mungkin berkaitan dengan perbezaan saiz tubuh badan dan kadar metabolisme.
    8. Hanya sebahagian kecil daripada lelaki dan wanita yang mengalami idea membunuh diri tampil supaya diberi rawatan. Idea dan percubaan membunuh diri didapati kerap berlaku di kalangan remaja dan golongan tua. Lebih ramai wanita yang membuat percubaan membunuh diri, tetapi lebih ramai lelaki yang benar-benar berjaya melakukannya sehingga meninggal dunia. Ini mungkin disebabkan kaum lelaki lebih cenderung menggunakan cara-cara yang berbahaya dan boleh membawa kematian dengan segera seperti menggantung diri, terjun dari bangunan tinggi, atau menembak diri sendiri sedangkan wanita lebih cenderung mengambil ubat-ubatan secara berlebihan atau mencederakan pergelangan tangan.
    9. Kita semakin memahami dan mempelajari bagaimana tindak balas seorang wanita terhadap rawatan yang diberikan dan peluang sembuh daripada penyakit kemurungan.
    10. Di dalam otak, bahan kimia yang dipanggil Neurotransmitter bertanggungjawab bagi fungsi kestabilan emosi seseorang manusia. Terdapat kajian yang mendapati terdapat perbezaan pemprosesan bahan neurotransmitter ini di dalam otak seorang lelaki dan otak wanita
    11. Rawatan dan pengambilan ubat-ubatan dalam tempoh mengandung dan pantang bersalin seorang wanita dianggap mencabar. Ini disebabkan pengambilan ubat-ubatan tertentu berisiko mempengaruhi kesihatan janin di dalam kandungan.
    Secara kesimpulannya, percubaan memahami pelbagai perbezaan tersebut boleh membantu mengendalikan emosi dan kemurungan.

    Cabaran Kemurungan

    Kemurungan mungkin boleh ditafsirkan sebagai suatu perasaan, namun kemurungan yang dimaksudkan di sini adalah suatu penyakit. Ia boleh disamakan seperti seseorang itu mengalami penyakit kencing manis, darah tinggi, barah dan sebagainya. Ia boleh melihatkan seluruh sistem dalam otak dan seterusnya menyebabkan pelbagai aspek kehidupan seseorang terganggu. Sekiranya seseorang itu mendapat suatu episod kemurungan dalam hidupnya, risiko untuk dia mendapat semula penyakit tersebut tinggi.

    Secara amnya, penyakit kemurungan ini berlaku dua kali ganda lebih kerap di kalangan wanita berbanding lelaki. Walaupun penyakit ini begitu kerap berlaku di kalangan wanita, kebanyakannya tidak dikenal pasti dan tidak diberi rawatan. Ini akibat pelbagai stigma atau pandangan serong yang diberikan oleh masyarakat terhadap penyakit ini.

    Sekiranya puan sedang menghidap penyakit kemurungan ini, puan mungkin tidak menyedari diri puan sedang sakit, atau walaupun puan menyedarinya, anda menyembunyikan daripada pengetahuan orang lain atau menafikan hakikat itu. Puan mungkin malu dan takut dipandang serong oleh orang lain. Jadi, semua orang cuba untuk tidak membincangkannya secara positif dan terbuka. Ini menyebabkan seolah-olah kemurungan itu tidak wujud. Oleh kerana ia hampir tidak kelihatan kewujudannya di kalangan masyarakat, menjadikannya lebih sukar dikenal pasti berbanding penyakit fizikal yang lain.

    Persepsi Dunia pada Penyakit Kemurungan

    Oleh kerana kita kebiasaannya melihat teruknya sesuatu penyakit itu berdasarkan risiko kematian, maka penyakit kemurungan kerap kali tidak diberi perhatian yang serius dalam sesebuah masyarakat. Namun jika diteliti, penyakit kemurungan boleh menyebabkan kematian sekiranya seseorang yang menghidapnya mengambil keputusan membunuh diri sebagai jalan keluar. Walaupun ianya tidak sekerap risiko kematian penyakit fizikal yang lain, satu hakikat yang tidak dapat dinafikan ianya berupaya menghancurkan kehidupan dan kebahagiaan hidup seseorang.

    Walau bagaimanapun, persepsi dunia semakin berubah terhadap penyakit mental secara amnya. Ianya mungkin bermula dalam tahun 1996 apabila Bank Dunia, Universiti Harvard dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenal pasti beberapa kriteria bagi mengukur bebanan sesuatu penyakit. Para penyelidiknya sudah mengenal pasti pembangunan ekonomi dan kesejahteraan kehidupan sedunia memerlukan manusia mempunyai tahap kesihatan diri yang baik. Ini adalah suatu perubahan idea yang ketara berbanding pandangan lama yang mengatakan kesihatan adalah kesan daripada pembangunan material. Mereka mengenal pasti bahawa pengukuran tahap bebanan sesuatu penyakit itu mesti komprehensif dan mencakupi pelbagai aspek kehidupan selain risiko kematian.

    Tahap bebanan penyakit yang baru memfokuskan kepada tempoh kehilangan kehidupan yang sihat sama ada disebabkan oleh kematian pada usia muda atau ketidakupayaan. Oleh itu, menggunakan definisi ini penyakit mental didapati memberikan banyak impak dan bebanan yang ketara kepada ramai manusia di seluruh dunia. Menggunakan definisi ini, para penyelidik di seluruh dunia mendapati Penyakit Kemurungan Major atau Major Depressive Disorder adalah penyakit penyebab utama kepada kehilangan keupayaan seseorang untuk bekerja. Penemuan ini memberikan kesan dan diberi perhatian oleh para pemimpin yang membuat polisi dan membantu kita memasukkan penyakit ini ke dalam polisi insurans.

    Bilakah Puan Perlu Mendapatkan Bantuan Profesional?

    Hubungi dan beritahu orang yang paling dipercayai atau segera ke perkhidmatan kecemasan di mana-mana hospital sekiranya puan atau orang yang puan kenali menunjukkan tanda-tanda:
    a. Ingin mencederakan diri sendiri
    b. Mula mendengar suara-suara ghaib (halusinasi) apabila bersendirian

    Langkah berjaga-jaga

    Sekiranya puan sedang melalui tempoh berkabung akibat kematian orang yang disayangi, kesedihan, atau kemurungan. Sekiranya simptom masih berterusan sehingga dua minggu, pergilah segera berjumpa doktor bagi mendapatkan bantuan profesional.

    Tanda-tanda amaran membunuh diri

    Antara tanda-tanda amaran nya adalah:
    a. Penggunaan dadah atau arak secara berlebihan
    b. Bercakap, menulis, atau melukis mengenai kematian, termasuklah menulis nota membunuh diri dan bercakap mengenai pelbagai kaedah membunuh diri seperti mencederakan diri sendiri, pengambilan dadah secara berlebihan, atau terjun dari bangunan tinggi.
    c. Menghabiskan masa dengan bersendirian.
    d. Mula menderma atau menghadiahkan harta dan barang-barang kepunyaan kepada orang lain
    e. Tingkah laku yang agresif atau tenang secara tiba-tiba
    f. Sesetengah remaja melarikan diri dari rumah
    g. Melakukan tingkah laku yang berisiko tinggi seperti memandu dalam keadaan mabuk.

    Setiap pernyataan membunuh diri perlu diberi perhatian serius

    Sekiranya seseorang yang dikenali mengancam untuk membunuh diri, cuba perhatikan perkara-perkara di bawah:
    a. Adakah kaedah yang dinyatakannya seperti senjata atau ubat dalam dos yang banyak itu sudah tersedia dan boleh digunakan pada bila-bila masa. Ini termasuklah apabila orang yang dikenali itu turut mengancam mencederakan atau membunuh orang lain juga.
    b. Menentukan masa dan tempat untuk membunuh diri.
    c. Memikirkan tiada jalan keluar bagi menamatkan penderitaan yang ditanggungnya.

    Sekiranya perancangan membunuh diri itu nampak bersungguh-sungguh, dengan perancangan yang spesifik dan kaedah yang tersedia ada, beberapa panduan di bawah boleh membantu:
    a. Temani dia, atau minta pertolongan seseorang yang boleh dipercayai supaya menemaninya sehingga krisis yang dialaminya berlalu.
    b. Beri galakan supaya dia mendapatkan bantuan profesional
    c. Elakkan daripada bertengkar dengannya dengan mengatakan “Masalah awak tidaklah seteruk seperti yang awak fikirkan,” atau mencabarnya seperti mengatakan, “Awak bukanlah seseorang yang patut membunuh diri”
    d. Ungkapkan kata-kata perangsang seperti menyatakan puan tidak mahu dia mati. Berbual secara terbuka dan penuh empati berkenaan situasi dan perasaannya.

    Perlu berjumpa siapa?

    Rawatan kemurungan biasanya termasuklah gabungan antara ubat-ubatan dan kaunseling profesional. Penting untuk puan menjalinkan hubungan profesional dengan doktor atau pakar terapi bagi jangka waktu yang panjang. Ini banyak membantu dalam proses penyembuhan. Diagnosis, pengurusan perawat-an ubat-ubatan dan kaunseling boleh diberikan oleh ahli-ahli profesional berikut:
    a. Doktor klinik swasta atau kerajaan
    b. Pakar-pakar perubatan keluarga
    c. Pakar psikiatri

    Kaunseling profesional boleh juga diberikan oleh ahli-ahli profesional di bawah:
    a. Pakar psikologi
    b. Pegawai-pegawai kebajikan
    c. Kaunselor bertauliah

  4. saya sedang menerima ujian Allah taala dengan menghadapi masalah kemurungan major sehingga terpaksa menerima rawatan pakar psikiatris dan merasa diri tidak berupaya untuk bekerja malah untuk hidup sekalipun, rakan2 ramai memandang serong dan negatif pada saya…

  5. nazrida Says:

    zuki, saya bersimpati dengan awak. Saya harap awak tabah menghadapi dugaan ini dan usah dihiraukan apa pandangan orang lain terhadap awak kerana mereka tidak tahu apa yang awak alami…dulu setiap hari saya berdoa kepada Allah agar diberikan kegembiraan dan ketenangan hati, saya tanamkan di dalam hati bahawa Allah akan mengabulkan doa saya. Alhamdulillah, akhirnya kemurungan yang saya lalui berlalu dengan sendiri walaupun waktu itu saya langsung tidak mendapatkan rawatan, malah saya langsung tidak ada kawan tempat mengadu…
    Zuki, ketika awak merasa sedih dan putus asa, mengadulah kepada Tuhan, kalau nak menangis, menangislah ketika berdoa kepada Tuhan, insyaallah, Tuhan tidak akan meninggalkan kita kalau kita tidak meninggalkan Tuhan. Di sampping ubat-ubatan, cuba awak berjalan kaki setiap pagi atau petang kerana berjalan kaki didapati boleh mengurangkan penyakit kemurungan. Juga, cuba makan sebiji pisang sehari kerana khasiat yang terdapat di dalam buah pisang mampu memberikan kita rasa gembira. Kurangkan pengambilan gula sebab gula yang berlebihan tidak baik untuk pengidap kemurungan. Saya harap awak akan dapat melalui segala saat sukar ini….amin.

  6. azitamusa Says:

    salam Kak Ida,

    Lama jie tak datang ke sini… melalui kehidupan jie, belajar menjadi bahagia untuk diri sendiri….. Hari ini merupakan hari jadi jie. sudah 37 tahun jie hidup. Jika dulu menanggis seorang kini jie tahu Allah sentiasa ada sebenarnya mendengar tangisan ini, mendengar rintihan ini. BIla jie lepas semua, jie rasa lega… ada pendengar nya , Allah.

  7. hi jie..happy birthday. Moga hidup Jie akan tambah berbahagia. Senyum2 lah selalu dan nikmatilah kehidupan kita yang semakin singkat ni…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: